Media Clippings

Berita Harian (Ekonomi) - 3 January 2004

Berita Harian (Ekonomi)


DVM Technology Bhd (DVM), yang mula disenaraikan di Pasaran Mesdaq Bursa Saham Kuala Lumpur semalam, yakin aplikasi perisian komunikasi generasi baru Genico yang akan dilancarkan tidak lama lagi mampu menjadi penyumbang terbesar keuntungannya tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Chen Chee Peng, berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan yang ditunjukkan pembekal perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan terhadap perisian itu.

Beliau berkata, ketika fasa pertama pembangunan generasi baru Genico itu beberapa syarikat terbabit termasuk Redtone International Bhd dan High-Tech Electronics Sdn Bhd (HTE), pengendali perkhidmatan NasionCall, sudah menyatakan minat mendalam untuk mengadaptasi Genico pada produk mereka.

“Kejayaan percubaan awal penggunaan Genico meyakinkan banyak pengusaha ICT tempatan. Kami yakin ia mampu menjadi penyumbang terbesar kepada keuntungan bersih kumpulan dalam tahun kewangan semasa yang diunjurkan meningkat sebanyak 20 peratus,” katanya.

Dalam tahun kewangan lalu yang berakhir 30 September 2003, DVM mencatatkan keuntungan bersih RM3.1 juta daripada perolehan RM59 juta.

Chen berkata demikian pada majlis penyenaraian saham DVM di Pasaran Mesdaq di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semalam.

Hadir sama Pengerusi DVM, Jen (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid dan Pengarah Urusannya, Datuk Goh Kian Seng.

Chen berkata, Genico yang dibangunkan NGC Systems Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh DVM, dengan bantuan teknologi Hewlett-Packard Sales (Malaysia) Sdn Bhd (Hewlett-Packard), membolehkan data, suara dan perkhidmatan multimedia lain disalurkan dalam satu rangkaian bersepadu pada kos lebih rendah.

Mengenai perkembangan operasi syarikat, beliau berkata, produk DVM akan memasuki pasaran Thailand secara lebih agresif tahun ini menerusi Datamat (Thailand) plc.

“Datamat yang memiliki pengalaman luas serta reputasi baik dalam pembangunan prasarana ICT di Thailand, mampu memasarkan produk DVM secara lebih berkesan di negara itu,” katanya.

Datamat menguasai 38 peratus kepentingan dalam DVM.

Chen berkata, DVM yang bercadang memasuki pasaran Vietnam tahun depan, sedang berbincang dengan beberapa pihak di negara itu bagi tujuan menubuhkan syarikat usaha sama.

Beliau berkata, ketika ini DVM sedang berusaha mendapatkan projek pembekalan aplikasi perisian bernilai RM100,000.

Sementara itu, saham DVM mencatatkan premium awal 24 sen dalam dagangan sulungnya di Pasaran Mesdaq semalam apabila ia dibuka pada harga 64 sen sesaham berbanding harga tawaran 40 sen sesaham.

Saham syarikat itu mencatatkan harga tertinggi 71.5 sen dan terendah 63.5 sen sebelum ditutup juga pada harga 64 sen.

DVM juga adalah salah sebuah kaunter paling aktif semalam dengan sejumlah 360,501 lot saham bertukar tangan.

Abdul Rahman berkata, premium awal sebanyak 60 peratus itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas kukuh syarikat.

“Kami yakin saham syarikat berteknologi tinggi seperti DVM akan mendapat sambutan baik pelabur tahun ini,” katanya.

<< Back to Media Clippings Next Media Clipping >>