Media Clippings

Berita Harian (Ekonomi)- 23 December 2003

DVM perluas operasi ke Thailand


DVM Technology Bhd (DVM), penyedia perkhidmatan dan perisian telekomunikasi, akan meluaskan operasinya ke Thailand mulai suku pertama tahun depan sebagai langkah awal meneroka pasaran serantau.

Ketua Eksekutif DVM, Wong Wai Wah, berkata syarikat sudah berbincang dengan rakan kongsi di Thailand untuk mewujudkan kerjasama penyediaan perisian dan perkakasan telekomunikasi.

“Syarikat kerjasama ini dijangka menyumbang kira-kira lima peratus kepada perolehan kumpulan tahun depan,” katanya selepas majlis undian saham DVM di Kuala Lumpur, semalam.

DVM yang akan disenaraikan di Pasaran Mesdaq, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) Januari ini membuat tawaran 40 juta saham biasa 10 sen seunit pada harga 40 sen sesaham.

Daripada jumlah itu, empat juta saham ditawarkan kepada awam, lapan juta kepada kakitangan DVM yang layak manakala 28 juta lagi dikhususkan kepada pelabur terpilih.

Bagi empat juta saham yang diperuntukkan kepada awam, DVM menerima 53,068 permohonan untuk mendapatkan 365.243 juta saham bernilai RM146.097 juta, iaitu lebihan langganan 90.31 kali.

Sementara itu, sejumlah 28 juta saham yang dikhususkan kepada pelabur terpilih sudah dilanggan sepenuhnya menerusi ejen penempatan yang dilantiknya.

Pengerusi DVM, Jen (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid, berkata lebihan langganan itu menandakan keyakinan pelabur kepada prestasi DVM dan perniagaannya.

“Ini adalah pencapaian luar dugaan dan ia petanda baik kepada syarikat,” katanya.

Abdul Rahman berkata, penyenaraian syarikat membolehkannya meraih dana berjumlah RM16 juta yang mana RM7.5 juta atau 36.3 peratus daripadanya akan dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) manakala bakinya sebagai modal kerja dan kos penyenaraian.

DVM mencatatkan keuntungan sebelum cukai bernilai RM4.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2002.

Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 Jun lalu, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM2 juta hasil perolehan berjumlah RM34.5 juta.

Sejak ditubuhkan enam tahun lalu, DVM beroperasi dengan aktiviti teras seperti menyediakan perisian telekomunikasi data komunikasi dan penyelesai rangkaian komputer.

Pix: dvm.jpg
Caption: PENGARAH MIDFCCS Sdn Bhd, Datuk Mohd Sallehuddin Othman (kiri) menunjukkan cara memulakan undian saham secara elektronik kepada Abdul Rahman. – Gambar oleh Rozainah Zakaria

<< Back to Media Clippings Next Media Clipping >>